Monday, July 8, 2013

Please Don't Intimidate Teacher......

Jangan ugut kami untuk undi kamu, kata NUTP

Guru-guru tidak seharusnya “diintimidasi atau diperas ugut" untuk mengundi mana-mana parti politik kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengingatkan parti-parti politik.
Presidennya Hashim Adnan mengatakan ini sebagai respon kepada Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang menggesa guru-guru untuk mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) akan datang sebagai melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan.
“Guru-guru boleh mengundi sesiapa yang mereka mahu. Saya tidak akan menuntut atau memaksa guru-guru untuk mengundi Barisan Nasional,” kata Hashim kepada The Malaysian Insider hari ini.
Beliau menambah: “Jika mereka gembira dengan apa yang diterima dan jika mahu mereka (BN) terus berkhidmat kerana telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik, mereka boleh mengundi BN.
“Semuanya terpulang kepada mereka. Mereka tidak seharusnya diintimidasi atau diperas ugut.”
Hashim mengatakan kerajaan tidak seharusnya mengambil mudah terhadap guru-guru.
“Apabila anda terlalu lama berkuasa, adalah normal untuk membuat gesaan seperti itu... sudah menjadi kebiasaan orang dijawatan seperti itu akan lakukan,” tambah beliau, akan tetapi memberi amaran kedua-dua pihak agar tidak membuli guru-guru untuk mengundi mereka.
Semalam Idris berkata undi kepada BN adalah bagi melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan yang banyak memperjuangkan kebajikan mereka.
"Tidak ada sebab guru membiarkan kerajaan bersendirian dan kini sampai masanya mereka membantu kerajaan untuk memastikan BN mengekalkan kerusi di Kuala Besut sebagai ucapan terima kasih mereka kepada kerajaan," katanya kepada pemberita semasa beramah mesra dengan penduduk Kampung Kemunting dekat Kuala Besut semalam.
Gesaan Idris mengingatkan kembali mengenai pilihan raya kecil Tenang dahulu apabila pengarah pendidikan negeri Markom Giran dikatakan menyalahgunakan kuasa apabila mengarah guru-guru untuk memastikan kemenangan BN.
Pengarah Pilihan Raya PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang Dzulkefly Ahmad membuat laporan terhadap Makom kerana melawat sekolah di Labis dan Tenang menyuruh guru-guru memastikan kemenangan BN.
Dzulkefly turut menyerahkan klip video empat minit yang dimuat naik ke Youtube menunjukkan Markom memberikan ucapan kepada guru-guru. – 7 Julai, 2013.

No comments: